Tentang Kami
Pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah adalah satu pertubuhan kemanusiaan bertaraf antarabangsa, yang dikenali di setiap Negara di dunia ini. Ramai yang mengetahui kerja-kerja kemanusiaan Persatuan ini yang sentiasa memberi khidmat kepada mereka yang menderita dan dalam keadaan bahaya, terutama semasa bencana alam, peperangan dan dalam kehidupan seharian.
Dalam masa aman mereka berlatih menyediakan diri untuk membolehkan mereka memain peranan yang lebih berkesan lagi dalam masa perang/ kecemasan. Disamping itu mereka juga terlibat dalam pelbagai aktiviti, bertujuan meringankan penderitaan manusia. Ini termasuk antara lain, latihan Pertolongan Cemas, bantuan bencana dan aktiviti-aktiviti berkaitan kesihatan dan kebajikan.
Pada tahun 1965, Persatuan Palang Merah Malaysia telah diperbadankan oleh Kerajaan Malaysia melalui Akta Parlimen No. 47/1965. Pada tahun 1975 pula, nama Persatuan Palang Merah telah ditukar kepada “ Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia” melalui Akta 162. Dengan kelulusan Akta ini, nama dan lambang persatuan ini ditukar dari Palang Merah kepada Bulan Sabit Merah.
Keahlian Persatuan ini adalah terbuka kepada semua di Malaysia termasuk kanak-kanak sekolah, tanpa diskriminasi kaum, jantina, darjat, agama atau fahaman politik. Sebagai badan penyokong kerajaan, (auxiliary to the government), Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dengan dasarnya yang bebas dan berkecuali, telah mendapat sokongan serta diterima baik oleh masyarakat umum dalam semua aspek pekerjaan dan aktivitinya.

“Sukarelawan Bulan Sabit Merah Malaysia membantu menyelamatkan mangsa bersama-sama Agensi Penyelamat”

Jom sertai Kami

