Tentang Kami

Pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah adalah satu pertubuhan kemanusiaan bertaraf antarabangsa, yang dikenali di setiap Negara di dunia ini. Ramai yang mengetahui kerja-kerja kemanusiaan Persatuan ini yang sentiasa memberi khidmat kepada mereka yang menderita dan dalam keadaan bahaya, terutama semasa bencana alam, peperangan dan dalam kehidupan seharian.

Dalam masa aman mereka berlatih menyediakan diri untuk membolehkan mereka memain peranan yang lebih berkesan lagi dalam masa perang/ kecemasan. Disamping itu mereka juga terlibat dalam pelbagai aktiviti, bertujuan meringankan penderitaan manusia. Ini termasuk antara lain, latihan Pertolongan Cemas, bantuan bencana dan aktiviti-aktiviti berkaitan kesihatan dan kebajikan.

Pada tahun 1965, Persatuan Palang Merah Malaysia telah diperbadankan oleh Kerajaan Malaysia melalui Akta Parlimen No. 47/1965. Pada tahun 1975 pula, nama Persatuan Palang Merah telah ditukar kepada “ Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia” melalui Akta 162. Dengan kelulusan Akta ini, nama dan lambang persatuan ini ditukar dari Palang Merah kepada Bulan Sabit Merah.

Keahlian Persatuan ini adalah terbuka kepada semua di Malaysia termasuk kanak-kanak sekolah, tanpa diskriminasi kaum, jantina, darjat, agama atau fahaman politik. Sebagai badan penyokong kerajaan, (auxiliary to the government), Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dengan dasarnya yang bebas dan berkecuali, telah mendapat sokongan serta diterima baik oleh masyarakat umum dalam semua aspek pekerjaan dan aktivitinya.

“Sukarelawan Bulan Sabit Merah Malaysia membantu menyelamatkan mangsa bersama-sama Agensi Penyelamat”

Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Negeri Kelantan adalah cawangan kepada PBSMM. Ibu pejabat PBSMM Negeri Kelantan terletak di Jalan Mahmood, Kota Bharu. Bangunan ibu pejabat PBSMM Negeri Kelantan juga dikenali sebagai Rumah Amal Tengku Faris Petra, mengambil nama Sultan Muhammad Kelima.
 
PBSMM Kelantan terlibat dalam aktiviti memberi bantuan kemasyarakatan dan kecemasan, terutama ketika bencana.
Pasukan yang berorentsikan khidmat sukarela itu membuka peluang kepada individu untuk menjadi sukarelawan, mahupun kepada individu atau syarikat yang ingin menyumbang kewangan ataupun peralatan untuk membolehkan pasukan beroperasi dengan lebih berkesan.

Sejarah PBSMM ditubuhkan pada tahun 1948 sebagai cawangan Persatuan Palang Merah Britain di Sabah dan Sarawak. Pada tahun 1950-an, lebih banyak cawangan persatuan ditubuhkan di Malaysia bermula di Pulau Pinang pada tahun 1950 dan kemudian di negeri-negeri lain.
 
Selepas kemerdekaan pada tahun 1957, cawangan di Semenanjung Malaysia dikenali sebagai Persatuan Palang Merah Persekutuan Tanah Melayu. Persatuan tersebut mendapat pengiktirafan oleh Persatuan Palang Merah Antarabangsa pada 4 Julai 1963 dan menjadi ahli badan antarabangsa itu pada 24 Ogos 1963.
 
Berikutan penggabungan Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak serta penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963, suatu penggubalan akta baru yang dikenali sebagai Akta Persatuan Palang Merah Malaysia (Penswastaan) Akta 1965 telah bertindak menggabungkan Persatuan Palang Merah Malaya dan cawangannya Persatuan Palang Merah di Sabah dan Sarawak dibawah nama baru iaitu Persatuan Palang Merah Malaysia. Ia dibentangkan di Parlimen dan digazetkan pada 1 Julai 1965.
 
Pada 5 September 1975, Persatuan Palang Merah Malaysia telah ditukar nama kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia selaras dengan kebenaran penukaran nama Akta Persatuan Palang Merah Malaysia kepada Akta Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia 1975 oleh Parlimen Malaysia.

Jom sertai Kami

"Aktiviti BSMM Kelantan sangat menyeronokkan. Banyak yang saya belajar berkaitan BSMM bukan sahaja ilmu pertolongan Cemas"
Asfa Nazhan
Sukarelawan
"BSMM merupakan organisasi kemanusiaan yang berkecuali. Melalui BSMM saya dapat mempelajari dan mempunyai pengalaman dalam pengurusan Pasukan"
Hilman
Sukarelawan

BULAN SABIT MERAH MALAYSIA NEGERI KELANTAN
Rumah Amal Tengku Muhammad Faris Petra, Jalan Mahmood, 15200 Kota Bharu, Kelantan.

09-7435504 (Tel), 09-7449171 (Fax), Email : bsmkelantan@gmail.com

Copyright BULAN SABIT MERAH MALAYSIA NEGERI KELANTAN – All rights reserved